KUCHING: Kerajaan Sarawak pada Isnin mengumumkan bajet terbesar dalam sejarah negeri itu, dengan nilainya mencecah RM12.3 bilion.

Membentangkan belanjawan tersebut di Dewan Undangan Negeri, Premier Sarawak yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Negeri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sejumlah RM4.5 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus manakala RM7.8 bilion untuk tujuan perbelanjaan pembangunan.

“Pada masa sama kita menjangkakan pemerolehan pendapatan berjumlah RM12.7 bilion dan ini menjadikan bajet kali ini akan menjana surplus sebanyak RM386 juta.

Bertemakan “Pembangunan untuk semua: Bersama membina Sarawak yang makmur berdaya tahan dan bersatu” bajet ini adalah lanjutan daripada pendapatan luar biasa Sarawak pada tahun ini yang dijanka mencecah RM12.7 bilion.

Dalam pembentangan selama lebih empat jam itu, Abang Johari menjelaskan, perbelanjaan mengurus tertinggi adalah sekitar RM1.76 bilion bersamaan 39 peratus untuk bekalan dan perkhidmatan, diikuti RM1.52 bilion untuk geran dan bayaran tetap, RM1.067 bilion untuk emolumen kakitangan, RM107 juta untuk perolehan aset dan RM104 untuk perbelanjaan mengurus lain.

“ Sementara perbelanjaan pembangunan sebanyak RM9 bilion termasuk RM550 juta untuk pelaksanaan Projek Rakyat, RM420 juta untuk Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), RM200 juta untuk Agensi Pembangunan Wilayah dan RM260 juta untuk Projek Kecil Luar Bandar (MRP), dan RM662 juta untuk pelbagai projek jalan serta jambatan.

Kutipan pendapatan yang besar ini tambahnya, mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negeri.

“Memandangkan komoditi minyak sawit mentah, petroleum dan gas merupakan penyumbang utama kepada hasil negeri, yang harganya ditentukan oleh pasaran global, Kerajaan Sarawak memilih untuk berhemah dan mengambil pendekatan konservatif dalam menyediakan anggaran hasil 2024.

Anggaran hasil negeri diperolehi daripada sumber utama seperti hasil cukai berjumlah RM5.7 bilion atau 45 peratus daripada jumlah hasil yang dijangkakan pada tahun 2024, tambahnya. 

“ Daripada jumlah ini, RM4.5 bilion adalah daripada Cukai Jualan Negeri, iaitu RM3.5 bilion daripada minyak mentah, gas asli cecair dan produk petroleum lain; RM850 juta daripada minyak sawit mentah dan minyak isirung sawit mentah; RM80 juta daripada produk aluminium, RM70 juta daripada loteri, RM33 juta daripada produk kayu, manakala baki RM5 juta daripada arang batu.”

Sejumlah RM600 juta pula katanya, adalah daripada royalti air mentah, RM290 juta daripada royalti hutan, premium kayu balak dan tarif manakala  RM242 juta daripada royalti perlombongan dan sewa tanah.

Premier Sarawak itu menambah, jumlah hasil bukan cukai dianggarkan berjumlah RM6.3 bilion atau 50 peratus daripada jumlah hasil.

“Daripada jumlah itu, RM2,862 juta daripada pampasan tunai sebagai ganti hak minyak dan gas, RM2,160 juta daripada pendapatan dividen, RM698 juta daripada pendapatan faedah dan RM400 juta daripada premium tanah.

“Sejumlah RM120 juta pula diperoleh daripada pampasan tunai sebagai ganti duti import dan eksais ke atas produk petroleum, sebanyak RM150 juta daripada pihak lain, termasuk lesen, yuran perkhidmatan, permit dan sewaan. 

Untuk hasil bukan resit katanya, Sarawak dijangka memperoleh RM28 juta daripada deposit tidak dituntut, lebihan bayaran balik dan pelupusan kenderaan serta geran dan Bayaran Balik Persekutuan sebanyak RM627 juta.